Kerusi merah itu untuk Qu.
Tapi meja Jepun itu untuk siapa? Tunggu boroi Qu hilang, Qu akan pasti
selesa bersila di situ. Untuk segenap pelusuk angin yang lalu disisi cuping-Qu
dibiarkan sahaja menjengah. Haba-haba yang datangnya dari dinding kini berkedap
dalam ruang yang sama sesat dengan-Qu. Lemak-lemak dibakar percuma dan baju
dibasuh dengan rela pada garam. Usah dipedulikan garam peluh itu kerana keluh
kesah hati lagi mahu berteriakan. Jari Qu lekapkan pada hati. Cuba untuk
mengambil dari luar tubuh dengan segala kudrat fantasi yang tinggal. Kini celik
Qu terpejam dalam kelam mencari hati itu. Jauh Qu-susuri perjalanan darah merah
mahupun putih dalam sana. Semoga ia pantas membawa Qu kepada hati. Sampai
disatu selekoh dan ia berputar rancak sampai akhirnya Qu tersembam pada aliran
yang berselirat. Bagaimana Qu hidup dengan aliran darah sebegini? Dengan
saluran pembuluh darah yang sebegini sempit, mustahil untuk Qu menelusup
keseberang sana.
Otak harus ligat, pemikiran harus pantas. Kemana lagi harus Qu
lompat untuk menerpa pada hati? Qu menyelit-nyelit pantas menggunakan tenaga
angin. Qu mahu segera sampai pada rusuk. Dalam rusuk nanti Qu akan tahu mana
mahu jumpa hati ini. Sampai dirusuk Qu bertenggek meminta nafas. Diselam
seketika ke dalam darah mencari bekalan oksigen. Dalam darah merah itu, Qu
pisahkan oksigen dan haemoglobin dan dilahap rakus oksigen tadi. Kini Qu benar-benar
dihadapan pintu rusuk. Rusuk ini bagai penjara! Penjara kepada sang raja yang
mempunyai magis memerintah seluruh jasad. Raja itu adalah hati !
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
أَلاَ وَإِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ . أَلاَ وَهِىَ الْقَلْبُ
“Ketahuilah sesungguhnya dalam jasad manusia terdapat segumpal
daging, jika baik segumpal daging tersebut, maka akan baik pula seluruh
jasadnya, dan jika rosak segumpal daging tersebut, maka akan rosak pula seluruh
jasad tersebut. Ketahuilah
segumpal daging tersebut adalah Al Qalbu (jantung)”
(Muttafaqun’alahi)
Diketuk cermat tulang-belulang rusuk-rusuk tersebut. Masih
utuh, kukuh tanpa rapuh. Di bawah rusuk ini Qu mencari sang hati. Hati
disebelah kanan, Qu terjah. Namun tiada. Bernafas panjang Qu. Bertafakur
sejenak membelai diri agar tidak langsung berhenti merasa hampa. Teringat Qu
pada pesanan ibu,
“Along, hati ibu untuk semua anak-anak ibu. “ Ibu tersenyum
indah.
“Nanti along cari hati along dekat mana. Kalau tak ada,
ambillah hati ibu.” Sambung ibu lagi.
Qu hanya termanggu senyap, sendirian akan kata-kata ibu
ketika itu. Mana mungkin Qu ragut hati ibu. Kini, ibu, Qu mencari sang raja
itu. Sang raja yang banyak melukakan emosi orang. Sang raja ini jugalah
kelihatan seperti layak dibuang jauh dari kelompok manusiawi. Sang raja ini
gila! Sang raja ini jugalah yang membuat hidup-Qu seakan orang siuman berjalan
atas pelangi. Sang raja ini sekarang begitu anarki sifatnya ibu, kerana sang
raja ini kini berani melawan sesiapa yang berselisih dengannya. Mengeluh
memikirkan perihalnya.
Namun itu bukan jalan penyelesaiannya. Teringat pula
kata seseorang kepada-Qu. Katanya hati lazim di sebelah kanan tapi jangan
terkejut kerana ada manusia yang hatinya di sebelah kiri. Kata-kata itu Qu biarkan
berlegar sahaja diruang fikiran lalu dibisikkan kepada diri bahawa Qu harus
terus menyalakan lampu dalam gelap meski lampu itu kian malap. Kini Qu
menelusuk penuh awas pada rusuk untuk ke bawah dibahagian kiri. Setiap langkah
diambil, penuh dengan doa sang harapan. Dicari rapi sisipan mata ini kepada
organ dan kelenjar paling besar dalam jasad manusia.
Bergeliga lagi otak-Qu diselubungi fikir memikir tentang
sebaris kata manis ibu. Hendak sebak, tapi tak pernah sekali hendak terasa.
Kulit mulus anakmu ini kian basah bagai dibanjiri air empangan yang langsung
pecah tanpa disentuh. Gelisah, gundah. Mana pergi hati-Qu. Lorong yang kelam
kini Qu tempuh. Lemak-lemak tepu melekit-lekit di sana sini yang bagai seratus
juta tahun baru boleh mencair. Anakmu ini derhaka untuk sihat. Tapi Qu jelas
tak mahu menghampakan hidangan ibu. Qu telan dan Qu menangis. Tapi kau senyum
dan Qu langsung merelakan. Kini Qu makin dalam dipeluk kolestrol jahanam!
Berani kau bermaharajalela disini. Qu siat-siat kau umpama
surat khabar lama yang dibuat pengganti tisu berak cina. Jijik Qu lihatnya.
Lendir-lendir bertepu kau bersarang tebuan di dalam kini, cis! Along dah jumpa
ibu! Hati along di sebelah kiri. Tuhan, syukur Qu jumpa mana hati ini. Tapi
kosong. Kosong benar hati ini. Tak bercahaya langsung. Kelam! Mana pergi semua
perasaan dan naluri? Qu semak semula di dalam recycle bin. Kosong. Siapa pula
racun yang meng-delete semua program hati-Qu? Mana cinta-Qu? Mana kekasih
gelapku yang dipuja bagai mati?
Oh, tuhan. Mana pergi isi hati hambamu ini?
Kepala-Qu tersentak pada rusuk lalu lemas dalam lekit-lekit
kolestrol.
"Dia tidak bersama
aku, jadi apa harus aku sesalkan."