Thursday, June 13, 2013

KIL : Sebuah Harapan?







KIL.


Seperti filem Bunohan dulu, filem KIL ini juga adalah filem yang aku letakkan dalam senarai wajib tonton. Jauh lebih tinggi dari keinginan aku untuk pergi menonton Fast & Furious 6 (Dan sampai ketika ini pun aku masih belum pergi menontonnya). Aku pernah tonton filem pendek yang bertajuk “Lightbulb” hasil arahan saudara Nik Amir Mustapha & Rewan Ishak serta lakonan dari pelakonnya, Redza Minhat dibawah team produksi FVL (Flux Visual Lab). “Lightbulb” adalah sebuah filem pendek yang menghasilkan teka-teki serta menonjolkan satu visual yang cukup ‘harmoni’ dari segi sinemafotografinya yang cukup segar yang jarang-jarang sekali digunapakai di dalam mana-mana produksi filem mahupun drama di Malaysia. Dari situ, ia terus menarik perhatian aku dulu. Dan apabila aku mendapat tahu mengenai filem KIL ini serta melihat sekali lagi nama FVL di belakang filem ini, aku terus berminat untuk mengetahui lebih mengenai filem ini.




Aku sangat tertarik dengan pembawaan watak Akil oleh saudara Redza Minhat yang begitu memberi kesan yang sangat mendalam. Sebagai seorang yang tak pernah mengenali Redza Minhat, aku merasakan pembawaan karektornya sangat natural dan seolah-olah karektoristik watak Akil itu adalah karektoristik sebenar saudara Redza Minhat.

Bagi aku, jikalau aku diberi peluang  untuk menghasilkan sebuah filem, aku lebih sanggup memilih pendukung watak utamanya adalah Redza Minhat berbanding Aaron Aziz (bukan nama sebenar.)



Mengenai Cristina Suzanne, sebagaimana juga Redza Minhat, aku juga tak pernah mengenalinya langsung. Mungkin melalui filem inilah buat pertama kali aku menonton bakat yang yang dipersembahkan oleh saudari Cristina Suzanne atau aku lebih suka kepada namanya yang digunapakai ketika di dalam Pilih Kasih, Kris Cempaka. Dengan lakonannya sebagai Zara yang dipersembahkan melalui filem KIL dan juga pelat sebutan huruf “RRR” –nya, maka lahirlah seorang lagi insane seni yang mempunyai aura yang tersendiri. Diharapkan selepas ini, Kris Cempaka akan terus maju menawan segenap pelusuk hati-hati warga Malaysia.

Jujur, bila sampai babak yang melibatkan Kris Cempaka, aku sentiasa nak tergelak (tak kiralah babak tu serius atau tak) atau paling tepat sekali, senyum sorrrang-sorrrang! (Senyum seorrrang lelaki lah katakan, LOL! ;)



Antara perkara yang sangat-sangat menarik halwa telinga aku bagi filem ini adalah skor musiknya yang berjaya membantu mood dalam setiap babak-babaknya. Ia cukup memberi kesan yang sempurna dalam filem ini. Hasil kerja musik saudara Saiful Ridzuan atau Duan ‘Seven Collar T-Shirt’ sebenarnya tidak boleh dipertikaikan kerana beliau sememangnya seorang pemusik yang bagus bersama band-nya, Seven Collar T-Shirt. Namun adakah beliau juga mempunyai  jiwa musik yang tepat untuk menghasilkan sebuah skor musik  bagi sesebuah filem? Jawapan aku, ya! Hasil kerjanya di dalam filem ini benar-benar bagus.

Mungkin aku tak banyak menonton filem-filem tempatan, tetapi bagi aku, aku cukup mengagumi skor musik dan runut bunyi yang pernah dihasilkan dan diadun di dalam filem KAMI suatu ketika dahulu. Bagi aku, skor musik KIL juga adalah sebaik filem tersebut. Tahniah!



Mengenai jalan ceritanya pula, filem KIL ini seolah sebuah permainan ‘jigsaw puzzle’ yang mengandungi banyak teka-teki yang bermain-main sepanjang perjalanan filem ini. Dengan penyusunan babak-babak untuk beberapa nama besar bagi muncul selaku watak ‘comeo’ dalam filem ini, ia sedikit sebanyak dapat menambahkan lagi tekanan yang terus menghantui fikiran. Aku pun langsung tak menyangka Ratu Rock, Ella, Juliana Evans dan juga vokalis Pesawat, Jipie juga turut muncul di dalam filem ini. Kemunculan pelakon seperti Hasnul Rahmat, Harun Salim Bachik, Dira Abu Zahar, Atillia, dan juga Aidil Manjalara (Couple) juga turut memberi kehidupan di dalam filem ini. Aku tertarik melihat seolah-olah babak-babak yang cuba dimainkan oleh pengarah (Nik Amir) mengenai watak Johan Iskandar yang didukung oleh Hasnul Rahmat selaku pengarah bagi filem Hari Tanpa Esok yang muncul di dalam filem ini. Apa yang cuba disampaikan melalui watak Johan Iskandar dan filemnya seolah-olah memberitahu kita apa yang sebenarnya kita fikir mengenai filem KIL walhal ia adalah sebaliknya. Sebuah plot dalam plot yang menarik. Tahniah!

Aku juga tertanya-tanya apakah yang cuba disampaikan dipertengahan filem ini dengan membuka sedikit maklumat mengenai pekerjaan watak Zara di dalam filem ini. Ia seolah-olah membuatkan watak Zara sebagai seorang yang lebih misteri terutama apabila dia mula mendekati watak Akil. Dan ia seolah-olah sedikit tak kena. Namun, apa yang akan terjadi selanjutnya, sila ke pawagam yang berhampiran selagi masih ditayangkan.

Kepada penonton, awas! Jangan fikir banyak sangat, takut ter-twist wayar-wayar dalam otak nanti. Twist yang bagus dipenghujung filem namun aku yakin ia boleh lagi diperkemaskan agar ia lebih member kesan yang lebih padu dipenghujung filem.

Aku juga ada sedikit ralat mengenai babak membeli buah-buahan di tepi jalan diantara watak Zara dan penjual. Apakah relevannya cara pembelian buah-buahan tersebut oleh Zara dengan mengambil beberapa biji buah lantas bertanyakan harganya kepada penjual dan si penjual terus mengemukakan harganya tanpa menimbang kira terlebih dahulu. Sebagaimana yang aku tahu, buah dibeli dengan timbang kilo bukannya berapa biji. Mohon penjelasan.
(Sebenarnya sewaktu babak tersebut, aku tergelak kuat-kuat. Maaf ya kepada penonton yang ada dalam panggung tempoh hari. Hehe~)



Secara kesimpulannya, hasil kerja keseluruhan team produksi yang terlibat dibelakang tabir filem KIL ini harus diberi pujian kerana mereka ini berjaya menghasilkan sesuatu yang sangat berlainan di dalam industri perfileman negara. Semoga kesegaran yang mereka bawa memalui filem ini akan terus berkembang dan memberi inspirasi kepada semua warga perfileman tanah air untuk lebih mementingkan kualiti berbanding kuantiti. Syabas KIL dan syabas Grand Brilliance kerana berani untuk mengenengahkan filem ini bagi tontonan umum setelah diperap sekian lama.

Filem yang bagus, sentiasa diperap dahulu. Kan? Sama seperti Bunohan. ;)


Sekian, Terima Kasih di atas sebuah filem yang tak akan dilupakan.
(Terutama sekali watak Aidil Majalara)



Aku berasal dari Temerloh dan tinggal di Puchong. Tapi aku tak tahu kenapa aku menonton cerita ni di Dataran Pahlawan, Melaka.
LOL!



Secara keseluruhannya aku hanya mampu memberikan 3.8/5 bintang.
kalau nak banyak-banyak bintang, jadilah macam Bunohan ;)



P/S : Oh, ya! Mengenai papan hitam di dalam bilik Akil tu, adakah ia diinspirasikan dari filem 500 Days of Summer?
 (Sebab, sebaik sahaja muncul babak yang melibatkan papan hitam tu, aku terus teringat akan babak Joseph Gordon Levit dalam filem tersebut.)

 Jeng jeng jeng~ ;) 





No comments: