Friday, April 13, 2012

.Lumpuh!





* * *


Pagi bergemersik. Sentiasa bergemersik. Dengan kicauan, dengan kedinginan; dan yang paling dahsyat adalah dengan peneman setia kita; MALAS!  Kita ini manusia memang malas; Liat! Kadang kala, untuk bangkit dari keselesaan tidur pun kita berkhayal. Berkhayal bahawa kita sudah
bangun, kita sudah mandi, dan kita fikir kita sudah bersiap untuk menempuh hari yang terang menderang. Tapi kita silap, pabila kita tersedar dari khayal; Kita masih di situ. Disitu, kaku dan termanggu. Sampaikan apa bunyi yang menerjah masuk ke corong gegendang telinga kita hanyalah bunyi detik-detik jam. Kita makin bingung. Dan sekali lagi kita terlelap semula. Terbang dalam khayalan, tersenyum dengan fantasi. Dan untuk setiap kalinya, kita akan terjaga. Kita juga akan tersedar. Kita sudah tewas dengan masa. Kita langsung terlewat untuk menempuh siang. Untuk bukan kesekalian harinya, kita tak pernah gagal untuk berpisah dengan rasa malas.


Lantas dibuka kelopak dimata
Satu demi satu hari aku tenang
--bersyukur masih bernafas
Nadiku oh nadiku
--yang masih lagi setia berdetar halus
Siapa dia
dan masih lagi memikirkan siapa dia
Oh bayang hitam
--yang melintas sayu!
Datanglah padaku dan perkenalkan namamu.


Fisikal ini kaku. Keras! Hati pun mengalah untuk membuat fisikal ini bangkit. Tak berdaya, lelah, dan luluh melingkup dalam satu rasa. Kadang-kadang kita punya mata untuk melihat. Merasai sejauh manakah sesebuah nilai pandangan. Jadi jendela itu dikuak sedikut. Cahaya pun menembusi. Tapi cahaya kelihat malu-malu sekali. Mungkin ruang ini begitu asing baginya. Jadi ia bergerak lambat-lambat meresap ke ruang udara ini. Mungkin tak selesa baginya. Atau ruang udara di dalam ini sempit; Terlalu sempit, membuatkan pergerakkannya menerjah masuk begitu perlahan sekali. Lantas, semakin ia meresap jauh, semakin tinggi nilai silau pandangan. Kita belajar untuk mengecilkan mata, tapi kali ini bukan untuk lelap dengan khayalan. Kita belajar untuk mengamati pesona. Menilai keindahan. Mentafsir perlakuan. Dan merasai seguni beratnya tanda soal.


Mata yang dipunyai dimaksimakan
-- semaksimanya fungsi
Mencari-cari setiap persoalan
--yang biasa membongkar tinta
Dari jendela moga ia bertaburan di angkasa-raya!
Ada benarnya pe-RASA-aan ini
--aku perlu bangkit dari fizikal yang sembab ini
Yang lama terbeban
Yang lama terbiar
dalam sangkar cengkaman bayang sendiri
Maka ubahkanlah aku menjadi yang segagah fantasi


Sering kali kita berfikir. Bahkan sepanjang masa kita meluangkan rasa untuk berfikir. Itu dan ini, begitu dan begini sampaikan kita muak dengan diri sendiri. Disaat inilah racun meresap laju. Memainkan wayang-wayang gambar untuk menjadi orang lain. Segagah itu, segagah ini; Seperkasa begitu, seperkasa begini. Tapi lambat laun kita juga pasti akan tersedar. Bahawa realiti dan fantasi adala dua mangkuk jamban yang berbeza, walau kau berani berfikir rasanya sama. Tapi kita salah! Kita dah dibuktikan salah. Soalnya begini, difantasi kau sudah jauh terbang ke Pluto, direalitinya kini kau masih di sini dan begini. Terkulai layu di pembaringan yang empuk. Noktahnya satu, kita malas untuk bergerak keluar. Kita malas untuk merasa lelah dan penat. Dan yang paling penting, kita sebenarnya malas untuk merasai keperitan sesebuah perjalanan. Atau paling tepat kenapa kita malas adalah kita sebenarnya PENAKUT!


Kini,
semalam,
--dan bertahun yang lalu
Dalam bilik yang gelap
aku termanggu
sendiri
Menanti dan berdoa dan menanti



* * *



Benar kata Wani Ardy,
“Harapan itu, senjata yang paling merbahaya; Buat sekalian umat manusia”


* * *