Thursday, May 24, 2012

. Sekeping KOTAK Berperisa Cokelat Willy Wonka !





* * * * *



Kotak. Kotak ini yang paling aku sayang. Kotak inilah yang sudi menjadi tanda nama umpama tugu peringatan. Dan peringatan ini untuk kau. Untuk kau tahu, jangan sakiti aku. Lagi, ataupun lagi dan lagi.


Kelmarin,
wujud rasa direjam. Tertimbus dalam karat lembing lidahmu tertusuk senang lenang dalam-dalam. Dari rasa yang paling dalam aku mengangkat seluas wajah, lalu tersenyum padamu. Tapi saat itu dikau sudah jauh berpaling. Menyendirikan aku sepi bersama lembing karatmu. Oh ya, aku ditemani juga dengan luka ku! Dan kami bertiga melompat atas dahan rambutan. Kata ibuku, di situ ada satu pintu untukmu anakku untuk menjenguk kilang cokelat Willy Wonka. Tapi aku tak percaya. Sekelumit pun aku tak pernah rasa percaya akan itu. Sebab disaat itu dan ketika itu, aku terlebihkan percayaimu, si pemilik lembing karat. Lidahmu gula-gula kapasku, sentuhanmu mimpi sempurnaku. Ah, aku tahu ibu cemburu dengan rasa juta-juta bahagia aku tika itu!


Ibu tak tinggalkan apa-apa untukku disaat dia pergi terbang jauh melangit. Yang ada cuma pesan-pesan asam garam lemak cili padi kehidupan duniawi dan juga sekeping senyuman yang sempat dia print-kan di kedai Ah Seng menggunakan kertas A4 yang telah dikerat separuh. Ah, gambar itu yang dicetak itu telah lama aku lunyaikan bila ibu mungkir janji untuk tidak pergi jauh melangit. Kertas itu aku ronyokkan, aku basahkan di dalam aroma kofee-bak. Lalu aku minum puas-puas bersama dia. Supaya ibu tahu dalam kotakku sekarang ini bukan hanya ada ibu. Ada dia, ibu! Lihatlah, dalam sana ada dia yang gagah jauh lebih perkasa dari binatang hijau dengan hanya bersenjatakan lembing karat. Ah, pilu itu pedih, pedih itu sengsara dan sengsara itu bangang!


Kini, aku rasa hanya satu. Jahanam! Rasa diri yang jahanam dijahanamkan oleh sang jahanam yang mana aku cuba untuk yakin bahawa akulah yang terpaling jahanam. Ah, celaka! Katamu juga yang ku cari kembali, ibu. Katamu bahawa aku boleh ketemu bersama Willy Wonka. Ke situ jua aku menjenguk, menjengah dan menjerit terlolong sampai polong pun mati tercekit tulang belulang sendiri. Lorong ku jejak kini putih dan selangkah lagi lorong ini bertukar jadi pelangi. dan dihujung pelangi itulah aku nampak Willy Wonka. Tersenyum, merdu saja rasa, syahdu saja suara. Di sebelahnya ada seorang perempuan berpakaian cik-misi dan spana hidup, gergaji, gunting dan parang tajam di dalam beg galasnya.


Kami bertiga dijemput masuk oleh Hencek Willy Wonka. Dia berikanku dua batang choki-choki berperisa pelangi. Yang mana satunya buatku lupa pada lembing karat yang tertanam tadi serta luka ku tadi. Kini dari bertiga kami kembali terpisah. Choki-choki kedua pula buatku tersenyum, kaku dan lupa pada rasa yang nyilu. Ditangannya kini ada gergaji dan gunting. Dia robek-robek dadaku. Katanya,  jangan risau. Rasa yang nyilu ini adalah rasa cokelat buatan tanganku (Willy Wonka). Saat ini aku di bawa khayal. Jauh menyusuri sungai sampai tinggi menjengah lelangit cokelat. Dia rentap laju-laju isi kotakku. Nyilu sikit. Tapi aku tetap dengan senyuman. Sesaat kemudian seorang perempuan yang berpakian cik-misi tadi keluar dan kemudian masuk membawakan segelen cokelat lalu dibekukan di dalam dadaku. Kini katanya masaku untuk terbang. Jauh lagi jauh dari karam.


Sampai di satu lapisan udara yang kian nipis kandungan oksigennya, aku terpaku. Satu kelibat memberhentikan kelajuanku menerjah lelangit. Kelibat itu sungguh menggamit rasa. Ia tersenyum dan sesaat kemudian aku tergerak sendiri kepadanya. Wajahnya seinci di depanku. Wajahnya wajah yang tersangat ku kenal. Malah lebih dari mengenali. Wajah yang pernah aku lemparkan dalam-dalam benci. Wajah yang telah aku ronyokkan, basahkan, dan telan sampai lumat! Wajah itu tiada berbicara malah sunyi dari senyuman. Wajah itu menangkap padat jari jemariku. Mulus rasa kulitnya. Aku tersentap diam dalam pilu, pedih dalam keterlanjuran  dan bangang dalam celaka-jahanamnya! Ke suatu ruang itu dipapahnya aku. Lalu ia berbicara. 


“Ke sana (langit teratas) bukan destinasi berikutmu walau ia pasti datang jua. Namun, ibu pasti pintu ini luas lagi untukmu terokai. If you've been hurt, never put your smile into your eyes but put your tears down into your recycle bin. Jangan jatuh!



Dia lemparkan aku jauh menyelusuri lorong berwarna pelangi tadi sehinggalah tiba ke lorong putih dan terus terjelupuk kembali dipangkin rindu. Kini aku sepi seorang. Tiada peneman lembing karat samaada terkesumat dalam dada mahupun jasad yang telah merejamku. Tiada luka. Yang hanya ada sekeping kertas berwajah ibu di sisiku. Aku tahu apa yang aku harus lakukan berikut. Aku hanya harus ke kedai bingkai gambar Cik Lara untuk diabadikan utuh sekeping gambar yang hanya ada senyuman. Satu-satunya senyuman yang aku masih ingat tika ini dan yang terus melekap di dinding kotakku yang berperisa cokelat Willy Wonka. 


Terima kasih.



* * * * *