Monday, June 20, 2011

.Ayahku Bukan SUPERMAN !!





Menemui sang malam. Semua aku sedar masih dalam nyenyak bayu. Dengkuran itu lumrah manusia. Jangan bertelagah dengan itu meskipun ia sampai menganggu kecelikan mata. Aku tahu kenapa aku masih di sini. Tidakkah aku sepatutnya di sana bersama-sama mereka dialam fantasi mimpi? Mungkin aku punya dunia sendiri. Dunia yang direka palsu dalam realiti. Tiada gundah tiada gulana. Hanya yang bermain adalah fikiran igauan yang mahukan indah. Aku berguling kiri lantas ke kanan.


  Dulu sebelum aku benar-benar kenal dengan erti insomnia, aku benar-benar mahu taksub penyakit itu ada padaku. Hanya berharap ia ada. Walaupun ketika itu aku tahu akan risiko penyakit itu. Tapi sudah lumrah kemahuan manusia. Mahu dipandang istimewa. Jadi, dahulu aku sering bermimpi dengan sang tupai bahawa aku ini ada penyakit insomnia. Tak boleh tidur malam katanya. Itu sahaja yang aku tahu ketika itu. Apa yang aku cuma fikir hanya betapa istimewanya orang yang berpenyakit begitu. Jadi fikirku hanya itu yang aku mahu untuk difikir istimewa. Jahilnya aku ketika itu. Tidak. Aku tidak fikirkan istimewa. Cuma aku fikirkan supaya ada insan dunia ini memikirkan betapa peliknya aku. Ganjil dari sesiapa. Aku mahu dipandang pelik, jelik untuk dianggap istimewa. Aku tidak mahu dipandang cantik, sempurna untuk diangkat tabalkan menjadi yang agung.


Tapi itu dahulu. Yang fikirnya jahil sementah darah. Sekarang? Tengoklah jam. Sudah pukul 4 pagi kawan. Mata celik tak pernah nak lelap masa-masa begini. Penyakit dahulu yang diimpikan kini menghantui hidup jahil aku kini. Dahulu masa kecil aku adalah seorang penakut tapi bukan sekali pengecut. Perasaan itu yang akhirnya dibina setebal-tebal belantara belangsungkawa sehingga aku jadi seorang yang pemalu tahap kronik. Aku benci siang. Sebab siang adalah waktu-waktu aktif seluruh manusia. Aku takut berdepan dengan mereka-mereka disiang hari. Aku malu mahu membiarkan tubuh bersalut kulit ini menari-nari di bawah terik mentari. Sehinggakan jikalau ada yang mengetuk pintu rumah aku pun aku lari macam nak mati nafas. Takut untuk menonjolkan diri. Segan untuk menunjukkan diri yang kurang sempurna.


Pernah suatu hari, di depan komputer rabak yang selalu hang itu, aku terloncat terperanjat sehinggakan apa yang ada atas meja komputer itu habis aku terajang bagai. Semua itu gara-gara satu salam dari seorang jiran. Aku menggelupur sampai pintu bilik pun aku langgar tanpa sempat aku sentuh. Jahil ! Tapi itulah aku. Segan tahap dewa meratah minyak. Kejadian hari itu mengundang bala pada diri. Bala yang aku sendiri takkan pernah buat lagi nanti-nanti. Malas aku hendak ceritakan nasib komputer rabak yang aku terajang terperanjat tadi. Fikir-fikirlah sendiri apa nasib benda alah itu. Yang aku fikir cuma adalah nasib kecil diri aku ini.


Aku kunci pintu bilik. Kali ini aku benar-benar tahu aku adalah si pengecut ! Mengunci diri dalam bilik. Melemaskan mulut dari bicara. Tiada nada. Cuma dada yang kian rabak berombak. Lebih mengilukan lagi hati ini adalah bilamana telinga cacat pekak ini terdengar bunyi kepala tali pinggang bagai diseret-seret tercampak-campak ke kiri ke kanan menghempas semua yang ada. Ini nasibku kawan. Pintu yang dikunci tadi lantas dibuka atas dasar takut pintu diterajang sampai pecah. Dengan membuka pintu itu sudah cukup membuktikan aku ini bukan si pengecut bukan?


Aku nampak tali pinggang kulit ditangannya. Aku tahu sebab aku selalu mengukur betapa sakitnya jikalau ia menjamah tubuh munggil ini. Lupakan sebentar dialog antara kami yang hanya memakan entah berapa saat sahaja. Lalu, nah ! Terima kau seksa bahana sendiri. Tali pinggang yang diihempas pulas kini menghinggap ke tubuh aku. Menjerit sakit cukuplah kalau dibayangkan bagai esok mahu mati ! Aku lupa berapa kali aku dihenyak bagai binatang. Yang paling aku ingat cumalah libasan terakhir yang dihayunkan tepat ke belakang dada aku sehinggakan ia sudah cukup untuk membuatkan aku terpelanting atas katil. Mujurlah katil itu utuh menerima beban yang terberat dalam dunia. Tercampak bagai dalam slow motion. Tiada lagi beza antara air mata dan peluh. Semua turut menitis sama bagai tiada diambil peduli.


Aku terdampar sesak atas katil. Diam, kaku ! Tapi nyawa ku tak melayang lagi. Yang melayang tadi hanyalah sekujur tubuhku yang dihentam sampai rabak. Mungkin aku sudah lupa akan kejadian itu. Tapi kalau diingatkan balik, aku takkan lupa ayah ! Sakit yang ditahan sampai mati. Pedih yang dibalut dengan luka-luka sampai penghujungnya takkan ada ubat. Tapi aku tidak jahil untuk menyimpan dendam. Aku tahu, itu cuma mainan perasaan emosi amarah kepada anakmu ini yang sungguh durjana. Yang tak habis-habis menyusahkan emosimu, ayah. Engaku mendidik aku menjadi sekeras batu. Yang mana batunya itu akan dibaling kepada engkau untuk engkau tahu betapa beratnya yang telah aku pikul.


Tapi selagi aku manusia, dan selagi aku masih anakmu, aku takkan berani berbuat begitu. Aku hormat siapa kamu. Aku sanjung siapa kamu walaupun aku tidak seperti orang lain yang menyanjungi ayah-ayah mereka seperti Superman. Cukuplah aku mengganggap kau seperti Robin Hood. Ganas, garang tapi ada hati nurani dan perasaan. Aku terima hasil didikanmu. Aku terima. Selamat Hari Bapa, Ayah ! Memang aku tidak boleh terima kau seperti Superman, tapi aku tahu kau adalah Robin Hood aku ! Selamanya ! ;’) Yang terbaik adalah yang pernah kita ada. Jadi kau tahu kau adalah yang terbaik Robin Hood? ;)

No comments: