Monday, July 16, 2012

.P E L U A N G ! (There Is A Light That Never Goes Out)






* * * * *



“Aku, aku percaya pada ‘peluang kedua’; tapi aku tak boleh mengambilnya, kerana ia terlalu berisiko. Ya, berisiko! Samaada percaya atau tidak ia tetap datang dalam bentuk hitam dan putih, pro dan kontra. Namun dimataku pekat hitamnya. Lantas diragui putihnya. Sebab itulah aku tak mahu mengambilnya, walau seketika. Walau seketika, risikonya tetap tinggi bukan?”



Sayup-sayup dan kabur pandangannya. Makin kabur dan kabur dan terus berkaca-kaca. Sayap-sayapnya didepang-depangkan. Dikibas-kibas laju. Dikepak-kepakkan padu. Tinggi, makin tinggi menyusup udara malam mimpi yang kian condong kepada pilunya. Bila difikirkan balik, ia ada rasa campuran sebak-dioksida dan nilai tawa-sigen yang kian membimbangkan. Dia berharap pada apa? Dia menanti pada apa? Untuk apa, kenapa dan mengapa lagi harus diteruskan kedukaan ini? Dia hilang nafas. Sayapnya kian sayup-sayup dan terus terkulai layu. Dimatanya sudah gelap. Ya, dia pitam. Hanya masa yang akan membangkitkan dari lenanya itu.


Terik terus terik lalu membakar sedikit demi sedikit bulu-bulu halus sayapnya. Pipinya terdampar dipasir halus yang telus menilami jiwanya. Sayap-sayapnya kini terkulai tak langsung bermaya. Dia cuba bangun. Bayu pantai kian menyegarkannya. Tapi disaat dia cuba untuk bangkit, sayap-sayapnya patah, gugur! Berguguran jatuh pada pasir-pasir yang tadinya halus lantas jadi jerlus dan membaham kenyang sayap-sayap patahnya itu. Matanya kosong. Yang ada Cuma pantai, laut dan pantai. Dalam masa satu jam dia berjaya berjalan menjejak keliling pulau dan dipenghujung mulanya dia singgah sebentar di Jeff’B Cafe kerana itulah satu-satunya bangunan yang wujud saat dan ketika itu.


Jeef’B menyambutnya dengan senyuman. Jeff’B jugalah yang membuka pintu cafenya untuk dia. Jeff’B jugalah yang menjemputnya duduk dan mengelap mejanya. Dan seketika datang lagi seorang Jeff’B membawa pen dan kertas dan juga kalkulator solar untuk memesan pesanan. Dan entah berapa juta lagi Jeff’B yang ada di dalam itu melayan kehendaknya. Namun semua yang dipesan gagal dikotakan. Sampailah datang lagi seorang Jeff’B, lalu memulakan bicara,


“Maaf, kami hanya menyediakan perkhidmatan percuma untuk segelas barli ais soda-bikarbonat dengan pembelian setiap satu sayap-sayap patah yang kami ada yakni yang kami jumpai dan perbaikinya. Setiap satu sayapnya bernilai 150kilo muntah nyamuk dan jikalau andaaa membeli sepasang sayap yang kami tawarkan, maka pihak kami teramatlah berbesar hati untuk memberi sekeping lagi sayap sebagai alat gantian dimasa hadapan. Semua ini tertakhluk pada terma dan syarat. Sekian.” Maka Jeff’B itu pun berlalu pergi. Lagi dan lagi!


Sudah 500 hari dia habiskan waktu mencari-menangkap-mencari dan memberi makan pada nyamuk-nyamuk durjana demi 150kilo muntah nyamuk dalam satu musim panas. Ah, kerja gila! Namun dia sanggup dengan tekadnya. Dia memerlukan lebih kurang 20kilo lagi untuk cukup membeli sepasang sayap. Namun nyamuk-nyamuknya sudah tiada, sudah mati semuanya. Dia naik runsing dan berkata celaka pada binatang yang baginya sungguh binatang disaat ini. Merah mukanya, berasap telinga dan hidungnya dan rambutnya semua jadi tercacak-cacak seakan direnjat letrik buas. Makin difikirnya makin langsung tidak keruan jadinya. Jadi keputusan berangnya atas barannya sendiri, dia mengutip berdozen bangkai nyamuk-nyamuk yang baginya terkorban atas jihad untuk dia meneruskan hidup lalu ditelannya lahap. Bagai jenglot perilakunya.


Sejam kemudian, dia bangun dari lena yang kenyang dengan menampakkan betapa bengkak perutnya kekenyangan. Lantas dia tanpa semena, termuntah segala isi perutnya. Bergelen-gelen, berkilo-kilo kalau ditimbang kira. Dan muntahnya kini sudah tercampur dengan muntah-muntah sekalian nyamuk tadi. Dia terkulai layu dan mindanya tersenyum luas. Nanti jam 6 petang dia akan menuju ke Jeff’B Cafe untuk membeli sayap-sayap patah milik Jeff’B yang sudah langsai dibaiki.


Dibungkusnya muntah itu tadi, elok-elok, molek-molek. Kini lenggangnya bukan main lagi. Berlagunya bukan takat merdu lagi, dah jadi tak berlagu tapi syahdunya bukan main lagi. Jeff’B terkejut dengan bergelen-gelen muntah yang di bawanya. Kini dia mendabik dada dan mahukan sayap-sayap tersuci milik Jeff’B! Kini, siap-siapnya untuk terbang dari sini. Dan sekali lagi dia didatangi Jeff’B lalu ia berkata,


“Pakailah kamu sayap suciku ini yang aku ciptakan sendiri khas untuk terbang. Dan janganlah engkau berenang-renang mahupun di tepi-tepian air kerana ia biasa membunuhmu. Dan jikalau engkau melewati kawasan Wolf River Harbor, maka cepat-cepatlah engkau melewatinya di atas angin kerana di situlah aku telah mati kelemasan walaupun aku pernah berkali-kali berenang-renang di sana. Ayuh, terbanglah engkau tinggi!” kata Jeff’B umpama khutbah ugama.


Dia tersenyum megah. Sayapnya kini berlagu. Istimewa suaranya. Disayap kirinya tertulis lirik sebuah lagu, “Everybody Here Wants You”. Dia jadi semakin kuat dan teguh. Dan apabila saatnya dia melepasi satu lapisan yang aneh itu, dia secara tiba-tiba terkulai layu dan jatuh melayang-layang entah ke mana. Yang cuma dia sedar hanyalah bila dia bangkit dari tiduran dengan segala tulang belulang yang dikhabarkan remuk-patah dan hancur kini tiba menjadi pulih tanpa sebarang penjelasan yang sainstifik dan konsisten.


Namun bukan itu yang dia kisah. Yang dia kisah adalah, dia bangkit dengan senyuman! Dan senyuman itulah yang bersiul-siulan lagu milik The Smiths – There Is A Light That Never Goes Out!


“Kadang-kadang aku percaya yang peluang kedua itu harus diambil-guna dengan betul yakni terima dan memaafkan dan berlalu pergi. Kerana aku juga tahu, risiko yang paling dahsyat musibatnya adalah dengan tidak mengambil sebarang risiko!”



* * * * *