Sunday, July 17, 2011

.Nota Kaki AhMeng | Part 2 : Peninggalan Nota Terakhir AhMeng !



* * * * *




Pagi ni kelas Cikgu Salina. Seperti biasa dia datang kelas tepat waktunya. Sungguh berdedikasi. Hari ni dia cakap dia nak sambung pelajaran yang seterusnya. Tetapi pelajaran yang sudah lepas harus didatangkan sekali. Bermakna pelajaran hari ini adalah mengenai Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Setiap pelajar katanya perlu menyiapkan karangan bertajuk, "Terima Kasih Tunku". Seperti biasa Adhan memang tekun membuat kerja meninggalkan gua terkapai-kapai lemas dalam kisah tragedi beberapa hari yang lepas. Beberapa minit telah berlalu. Tiba-tiba pintu kelas diketuk lembut diikuti dengan salam. Cikgu Salina seperti biasa, baik orangnya lalu berkata,

"Masuk Sarah. Kelas baru bermula."

Sarah.?! Oh si gadis itu Sarah rupanya. Manis ! Tapi muka selalu nampak masam. Senyap je dalam kelas. Orang lain semua tengah best berbual pasal gua tempoh hari. Okay, gua lega. Sarah bukan hantu. Kelas pun tamat. Gua tak siap lagi. Nasib baik boleh hantar lepas rehat. Lega gua. Time rehat gua duduk tepi longkang makan ais krim Malaysia sebab gua hari ni tak ambil duit belanja dari mummy gua. Yelah, nak cepat punya pasal. Gua nampak dekat pokok bunga besar sana. Ada seorang budak tengah makan aiskrim kon ! 50sen, gua ada 20sen je haritu. Gua fokus lama-lama dekat awek tu. Gua rasa macam kenal. Gua zoom lagi mata gua, habis fokus. Secara mendadak, Adhan datang. Dia tepuk bahu gua.

"Kau ni kenapa Meng?" sapa Adhan.

Kalau ikutkan hati, gua nak je hempuk kepala jongang si mata ikan ni. Haish, kacau je gua mau ushar awek. Gua balas,

"Taaa, taak, tak ada apa-apalah Dhan." kata gua gagap-gagap.

"Kau ni Meng. Aku tau kau tengok Sarah makan ais krim kat sana kan?" sambil dia melemparkan senyuman sinis nak kena sepak terajang penampar telanjang gua.

 Haish, ini budak Adhan ada kuasa telepati ke apa. Tau-tau je gua pandang awek comot yang makan aiskrim tu. Tapi bagus juga, sekurang-kurangnya gua tau dah nama awek tu Sarah. Patutlah gua rasa macam kenal. Jadi rehat tu gua kongsi sama-sama pandangan gua dengan Adhan. Sama-sama ushar Sarah yang tercomot makan ais krim sampai kat pipi ke hidung. Sarah perasan kita orang ushar dia. Sebab lepas tu dia tunjuk kat gua penumbuk buku lima dia. Gua pun terkejut sambil gua sekeh kepala si Adhan tu.

* * * * *

Sebelum gua balik rumah, gua lalu depan penjual aiskrim bermotor tu. Gua berhenti, gua check sama poket seluar gua. Kosong ! Tak ada apa-apa lagi yang tinggal. Cuma ada habuk kertas yang telah selamat dimesin basuhkan oleh mummy je dengan poket yang koyak sampai boleh terkeluar dua jari gua. Gua tunduk hampa. Tiba-tiba ada suara menjerit,

"AhMeng ! Mai sini !" dah macam polong suara tu.

Tapi gua tau tu suara Sarah. Gua nampak dia beli aiskrim tadi tu. Gua pergi kat dia. Dia ajak gua pergi duduk kat bus stand depan sekolah tu. Dia makan aiskrim dia. Gua naik terliur. Tah berapa kali gua telan air liur dan mungkin juga sedikit kahak. Dia jilat ais krim tu sampai gua terpaksa pandang tempat lain. Cis ! Hati gua memberontak. Bila gua pandang kat dia semula, dia tarik tangan gua. Dia bagi gua satu lagi aiskrim yang dia beli tadi. Comot dia gua nampak sebab habis aiskrim coklat tu melekat halus-halus kat pipi dia. Gua sengih. Dia buat tak tahu.

Gua pun makan sama-sama. Suasana senyap je. Kelu kaku macam kena beku dalam aisberg. Tiba-tiba Sarah bangun. Dia capai beg galas dia. Dia masuk ke dalam kereta Honda dia. Gua rasa tu kereta bapak dia kot. Sebab gua nampak driver tu macam garang je sampai misai kalau boleh nak panjang macam rambut. Sejak kejadian hari tu, gua selalu lepak dengan Sarah sambil makan aiskrim dengannya di bus stand. Gua aiskrim vanila dia aiskrim coklat. Gua naik jatuh cinta dengan kecomotan dia. kalau boleh, gua nak lap-lap kan je pipi dia yang comot tu. tapi gua tak berani. Hati kecut !

Ada satu hari tu gua hantar Sarah balik naik basikal capuk gua. Gua nampak kat depan pintu pagar rumah dia, ada seorang lelaki mundar-mandir dengan telefon bimbit ditangan. Gua syak itu bapak dia. Bila lelaki itu toleh ke arah kami, gua tau dah tu bapak dia sebab gua perasan misai panjang bapak dia. Tak payah gua nak zoom-zoom in kan mata. Dalam hati gua, syaitan je tau bahawa gua melakukan perkara yang baik. Sampai depan rumah dia, bapak dia tarik Sarah turun dari basikal gua. Habis terjatuh ais krim coklat dia. Tapi sebelum bapak dia heret dia masuk, sempat lagi tangan dia hayun kak pipi montok gua. Gua pun apa lagi. Bergenang mata macam kolam saling melimpah ruah. Gua termelalak kat situ juga. Tapi gua tak perasan yang gua time tu juga dah terkincit sama.

Mujurlah mak Sarah baik. Dia yang tolong pujuk gua. Dia siap bagi gua pakai paip luar rumah dia lagi. Gua pun cuci terkincit gua. Gua dengar dari tingkat atas suara bapak dia marah-marah Sarah. Tapi gua tak dengar pula dia melalak meraung ke apa. Mak Sarah bagi gua pakai seluar pjamas Sarah memandangkan mereka tak ada anak lelaki malah perempuan selain Sarah. Seluar pjamas tu singkat sikit. Tapi gua sarung jelah. Terus gua ucap terima kasih kat mak Sarah sambil dia melemparkan senyuman yang tak henti-henti kat gua. Gua fikir dia dah syok kat gua. Haha. Tak adalah. Mungkin cuma nak pujuk gua selepas terkincit kena tampar.

Sebelum gua kayuh basikal capuk gua, gua sempat lagi ushar tingkap atas rumah tu. Gua nampak Sarah termenung keluar jendela. Sampai dipertengahan jalan, basikal gua pancit. Apalah nasib gua masa tu. Sudahlah ditampar, terkincit pula tu dan tayar pula pancit. Dan secara tak semena-menanya cuaca yang terik tadi langsung jadi mendung. Sikit lagi nak hujan. Bermandi kuyup lah gua sampai kat rumah nanti. Mummy gua dah siap tunggu lagi gua kat pintu rumah. Siap dengan rotan bulu ayam dia. Gua pasrah sampai mati. Berbirat jalur-jalur buntut ayam gua macam ayam panggang tak senang duduk.


* * * * *

Esok hari Sabtu. Tak sekolah. Macam mana gua nak jumpa Sarah dan pulangkan seluar pjamas dia.? Malam tu, gua dah tak tahan dah. Gua longlai. Cepat je gua masuk tidur. Kerja sekolah satu haram pun gua tak usik sebab habis basah buku-buku semua. Nasib baik, gua ada mummy gua. Dia yang tolong keringkan. Sabtu malam tu gua terus naik demam. Pening bagai nak rak. Gua terlena awal lagi malam tu. Tapi mummy gua sempat lagi suruh gua telan sup panas dia. Moga dapat menyegarkan badan longlai gua. Sampai hari selasa gua tak datang sekolah. Hari rabu pula gua kena tolong jaga gua punya mummy punya kedai. Kedai pau mak gua ni laku pagi-pagi. Oleh kerana hari rabu tu dia sakit selsema, gua pun kasihan tengok dia. Jadi gua tolong dia.

Hari khamis, gua masih lagi demam. tapi gua nekad nak pergi juga sekolah. Gua nak minta maaf pada Sarah. Dan tak lupa juga gua nak pulangkan seluar pjamas dia. Seluar tu gua basuh sendiri buat pertama kalinya walaupun mummy gua hampir-hampir nak jual kat bundle seluar pjamas tu. Malam sebelumnya, gua kasi korek gua punya tabung khinzir. Dapat juga gua keluarkan duit syiling dalam RM1.50. Gua cadang nanti gua nak belanja dia aiskrim RM1. Gua makan yang 50sen pun tak apalah. Gua punyalah gembira malam tu.

Gua datang sekolah awal. Gua tunggu Sarah kat pintu pagar. Tunggu dengan basikal capuk gua. Tapi Sarah tak muncul-muncul. Gua pergi berhimpun dulu. Dalam fikiran gua cakap kejap lagi adalah Sarah tu. Kan dia biasa datang lambat. Gua rileks, gua chill, gua tunggu. Kelas dah bermula setengah jam. Naik kepada sejam. Gua terus layu. Sarah tak datang-datang. Gua monyok. Gua ternangis dalam hati. Masa rehat, gua tunggu Sarah lagi dekat tempat jual aiskrim. Tapi sayang gua tak nampak dia. Sedang gua tunggu kat situ, gua nampak kat surat khabar yang pakcik tu baca ada tertulis, budak 9tahun koma dilanggar lari semalam.

Tempat kejadian adalah di kawasan permainan taman perumahan Sarah. Tapi gua tak syak budak yang koma tu Sarah sebab Sarah ni jenis tak bercampur dengan orang. Masa balik gua terus tunggu dia kat bus stand. Tapi gua hampa. Tak ada langsung kelibat dia. Gua genggam kemas RM1.50 gua. Gua ikat kemas seluar pjamas Sarah dengan reben pink mummy gua. Gua jadi nekad. Gua nak pergi kat rumah Sarah esok. 


* * * * *

Gua pergi terjah, tapi rumah kosong. Tak ada yang menjawab panggilan gua. Kereta pun tak ada. Gua ternampak kat pintu rumah itu ada papan bertulis, "RUMAH UNTUK DIJUAL". Gua faham, gua hampa, gua penat. Gua sedih bagai nak mati. Sebelum gerak gua tengok peti surat rumah tu. Gua terjumpa satu kertas bertulis,

"SAYA SUKA AWAK! AWAK JANGAN BAGITAU ORANG LAIN TAU." 

dengan kucupan bibir lipstick kat bahagian bawah kertas tu.

Gua pulang hampa merana. Gua singgah rumah Adhan. Gua tanya dia pasal Sarah. Dia cakap Sarah dah tak ada lagi bersama kita. Gua punya mata tak bergenang cuma berombak macam tsunami. Gua meratap harta peninggalan Sarah kat gua, iaitu seluar pjamas Sarah. Tapi gua ada lagi harta peninggalan Sarah yang paling berharga dari nyawa gua. Iaitu, kisah-kisah lalu gua dengan Sarah bersama aiskrim coklat. 


"Gua janji gua bawak masuk kubur seluar pjamas Sarah ni !"

.T A M M A T.

~Selepas itu AhMeng hilang tanpa dikesan. Hanya nota-nota terakhir ini sahaja yang jadi peninggalan AhMeng kepada dunia nyata. Lalu aku kisahkan kembali perjalan AhMeng ini dalam duniaku. Selamat jalan AhMeng. Moga kau tenang di sana bersama seluar pjamas Sarah.~

[P/S : Oh ya, sebelum aku terlupa, Sarah ada mengutus surat pada aku. Dia bertanyakan khabar perihalan AhMeng. Aku ceritakan segalanya apa yang berlaku ke atas AhMeng sejurus selepas Sarah berpindah ke tempat baru. Dan untuk pengetahuan semua, AKU adalah ADHAN ;') sekian.]