Wednesday, December 7, 2011

Hikayat Zombaaaaaa !




Dia jatuh tergolek-golek tadi. Aku ketawa berdekah-dekah. Tapi kau terus datang menerpa. Dengan pantas mata syaitan kau pusingkan. Pisau dalam lipatan dihunus senyap. Tapi dia cekap menahan pakai kaki. Lagi dan lagi sampai lelah kau dan dia berkelana atas pasir putih tu. Apa kejadahnya tuhan yang berlaku depan mata ni? Tarian berdarah seakan sudah lama berlagu. Kini tinggal musik delima yang menanti penghujung.

Semalam
kau kata dia sudah membunuhmu. Dia sudah meratah-ratah lahap dagingmu. Dengarnya darah kau disedut-sedut laju pakai straw gajah. Kata Pak Jamad, dia nampak riak kepuasan syaitan bergolek tadi meneguk darah! Rakus katanya. Seram sampai berdiri bulu roma katanya. Tapi Pak Jamad mana reti mahu berganjak, kerana itulah jalan pulangnya. Bergaru dia sendiri ke atas kepala licin berjambulnya.

Dulu Pak Jamad pemes dengan jambul remosnya. Hari-hari disikat rapi pakai minyak sapi. Kata Mak Mah, dulu Pak Jamad tu hero maskulin. Segak berjambul. Kacak ber-Lambretta. Up-to-date dengan seluar bokatnya. Tapi satu je punca kenapa Mak Mah berhisteria menghalau rombongan meminang dari Pak Jamad, lobang hidungnya kalah serombong kapal! Katanya seram. Takut dibuat tidur. Mengigau sepanjang beradu.

Kisah Mak Mah yang mengigau semasa beradu kekal rahsia sulit dalam pelikat gambus. Tapi sejak Judin anak Pak Mus Setongkol pulang ke kampung, habis anak dara berjanda dan janda habis disapunya. Satu hari, Judin anak Pak Mus Setongkol sedang asyik mengail sepat, dia ter-skodeng bilik Mak Mah. Katanya Mak Mah ketika itu masih letup-letup! Dari lubang kepingin kecik seluas nadi nyamuk itu dipasangkan gegendang telinganya. Mak Mah menjerit, “Aku bunuh diri mak kalau mak nak juga saya kawen dengan Pak Jamad hingusan tu!”

Lalu terloncat kain dari pelikat Judin anak Pak Mus Setongkol dari dada. Berlari dia pusing satu pekan. Katanya Mak Mah si andartu terlampau tu mahu berbunuhan sesama sendiri. Habis lancang dicanang gempita. Malam itu seluruh kampung dari Kampung Dua Bergigi sampailah ke Kampung Sungai Cala. Tak lena Wak Jowo diulit mimpi gelap itu. Cangkulnya siap-siap diasah. Pelitanya basah dimandikan minyak tanah. Lewat-lewat begini cahaya bulan purnama pun kedekut katanya!

Sedetik berdetik dari sesaat kepada sehari. Mak Mah masih lagi di situ bagai dirasuk tak mahu-mahu berpacaran. Hampa Judin anak Pak Mus Setongkol menyebarkan perkhabaran sensasi yang basi. Habis dari Kampung Senohong kepada Kampung Berkali Batang semua mencemuhnya. Katanya posto telegramnya sudah busuk, cepat panas-senang basi! Wak Jowo yang paling bertepuk dahinya. Kerjanya tidak menjadi. Gajinya tersangkut-sangkut lagi.

Petang itu kelihatan Wak Jowo duduk semeja berkaki silang dengan Pak Jamad dan Pak Mus Setongkol. Bernanah telinga Pak Mus Setongkol mendengar madah berapi naga berkepala lapan Wak Jowo mengenang kerjanya yang terbantut-bantut dek kerana angin kus-kus si Judin. Pak Jamad masih lagi gagah di situ. Tersenyum menghirup teh tarik Janda Baru Melah. Siapa jikalau dibilangnya Warung Janda Baru Melah, dari dusun  lipat sampai ke negara keling, siapa tak kenal akan warung ini alamatnya mati dipengkal bulldozer keramatnya.

Janda Baru Melah ni gerangannya sudah berjuta kali bernikah berjanda. Asal bernikah esoknya suami itu mati keras tertelan lepat! Sumpahan itulah yang paling digigilkan Pak Jamad. Walaupun hatinya merontak-rontak mahu karipapnya. Menurut Pak Mus Setongkol yang bercerita sulit dengan Pak Kutip anak Sayop dan disampaikan pula kepada Ajeman anak lelaki Kartip sampailah ketelinga Judin anak Pak Mus Setongkol dan terus menjadi hebahan satu pekan di mana suatu pagi Ahad itu Pak Jamad membeli tembakau dan terpasang telinga akan perkhabaran itu bahawa karipap Janda Baru Melah begitu rangup dan berlemak inti kentang putarnya.

Dari situlah warung si Janda Baru Melah ini pemes sampai masuk tibi siaran berbayar syarikat penyiaran kerajaan. Hari-hari nampak suaranya mempromosikan senjata sulitnya. Dari Negara Keling ke Negara Chaoling, semua datang berpusu-pusu merasa lemak karipapnya. Sampailah semalam, legasi karipap sulit Janda Baru Melah habis terbongkar apabila Mak Mah datang membawa satu kereta sorong yang dipikul dipinggangnya dengan muatan tahi anak lembu. Lalu dilemparkan serata warung maka bertempiaranlah orang Negara-negara tersebut.

Aku bertanya kepada Mak Mah, “apa kejadahnya semua ini?”

“Kau tak tahu alkisahnya, kau diam Mustopa!” jerkahnya bersembur-sembur air liur berbau nasi goreng belacan.

Menurut cerita Judin anak Pak Mus Setongkol kepada aku, Janda Baru Melah tu dulu telah merampas kekasih gelap sijantung hati Mak Mah tu. Sebab itulah mengapa Mak Mah tolak semua rombongan merisik meminang ke atasnya. Dan andartu bernama Mak Mah itu terus menjerit meracau ketika menghalau rombongan Pak Jamad dahulu, “kau dah main mata dengan Melah si sundal janda sampai ke mati, ada hati mau datang meminang aku!”

Satu kampung heboh. Judin anak Pak Mus Setongkollah wartawannya. Desup-desup telinga dia menangkap. Sejak itu si Janda Baru Melah pun dapat tahulah akan mengapa setiap kali dia berkahwin, dia akn jadi janda keesokkan harinya.

Dan aku terdiam. Bisu tanpa kelip-kelip dimata. Kampung Talam Sebatang Kara ni dah lama mati. Dan yang berdiri di depanku kini mirip seperti Pak Jamad, Mak Mah, Judin anak Pak Mus Setongkol, Wak Jowo, Pak Mus Setongkol, Janda Baru Melah, Pak Kutip anak Sayop, Ajeman anak lelaki Kartip dari Kampung Sebatang Kara ke Kampung Senohong sampai ke Kampung Berkali Batang dan dari dusun lipat ke negara keling menyinggah ke Negara Chaoling semuanya ada tegak berdiri menyenget di depan mataku.

Dan mereka-mereka inilah yang dulunya berlakon di dalam filem Zombie Kampung Pisang  arahan Mamat Khalid sebelum nama-nama asal berhakcipta ini ditukarkan kepada nama-nama samaran seperti Awie !

* * * * *

[P/S : gambar adalah sekadar hiasan dan nama-nama serta latar tempat dan masyaratakatnya adalah sulit dan telah selamat digantikan dengan mereka-mereka yang bersayap-sayap patah ;) ]

No comments: