Saturday, December 24, 2011

Setiawan : Dia Jual Kameranya Kerana Ingin Membeli Hati, Tapi Rusuk Kirinya Yang Remuk!




Dia jual kamera dia. Ya, dia jual. Dia jual kamera dia untuk membeli sekuntum hati. Hati itu telah lama dia dambakan. Sebelum tidur dia bermimpi akan hati itu. Sebelum makan dia kenyang dengan hati itu. Sebelum mandi dia habis basah bersama hati itu. Ibaratnya setiap perilakunya berfantasikan hati itu. Hati itulah yang dia jeritkan pada lelangit bahawa ia adalah hak mutlaknya!

Hari ini, dia
tidur awal. Esok baginya adalah hari segala penentu bagi lelahnya. Hari ini dia tidur dengan senyum. Senang saja lenanya ditemani cengkerik tuli. Tiada mimpi, tiada fantasi menemani lenanya. Hanya senyum yang kaku sahaja terukir dalam lelap. Dia sudah benar-benar nekad nampaknya. Tunggu sajalah esok.

Esok pagi-pagi lagi dia sudah bangkit. Sebelum orang surau bang azan subuh lagi dia sudah tersenyum kambing menghadap cermin. Hari ini dia akan potong rambutnya dahulu. Lihatnya serabai dalam cermin. Bisik hatinya juga berulang kali sering bertelagah dengan muka-muka cermin itu. Katanya seakan mengejek! Hari ini hari baru baginya.

“Kau tunggu hati!” azamnya setelah subuh.

Dihujung 7Eleven itu dia berjalan. Tegap ke arah kedai gunting milik PakMan. Tapi PakMan telah lama tiada. Kematian akibat stroke khabarnya. Overdose rokok kata anaknya! Kini kedai itu, anak bongsu dialah yang menguruskan. Hendak harap, abang-abangnya, sampai kiamat pun tak mampu nak memegang gunting. Desisnya dahulu sewaktu seorang peguam datang membacakan wasiat.

Rambutnya menjadi pendek. Habis hilang rambut panjang berkeringting hujung-hujung itu. Kini wajahnya baru. Segaknya baru. Lagaknya juga baharu. Dengan Lambretta TV 175 Series II dia menuju ke pekan. Sudah tidak apa lagi yang mampu menghalang hasrat kesumat dia. Dari matanya jelas bersinar-sinar dunia ini nanti.

Kameranya dijual. Dari kamera ke tripod sampailah ke benda-benda kecil yang bersangkut paut dengan kamera, habis dia jual. Kini hatinya lega. Dia sudah bersedia mendakap hati yang didambakan sekian lama dahulu.
Hatimu akan kumilik!
Hatimu akan kumilik!
Hatimu akan kumiliki!
Bergegar ruang otaknya tersenyum dengan jeritan batinnya yang  mebuak-buak.

“Awak tunggu hati, saya datang!”

Sampai di depan Mall seksyen 12, dia berhenti. Lampu merah. Takkan duit jual kamera ini habis nak dibuat bayar saman. Melepaslah hati yang aku dambakan tu nanti. Persisnya dalam-dalam. Dimatanya masih lagi bersinar-sinar adiwira. Tengahari itu dirasakan lampu trafik simpang empat itu lambat sekali bergerak. Sudah berapa ketika peluhnya menitis dek terik sang mentari.

Dia meneguk air Mountain Dew yang dibelinya. Do the Dew katanya. Baru bertenaga. Lantas tiba sebuah kereta Proton Inspira bewarna putih dengan tinted habis. Kerusi dalamnya pun masih diselimuti plastik. Owner-nyer membuka tingkap sambil berkepul-kepul asap dari rokok dihamburkan ke udara.

Di sebelah Proton Inspira itu adalah kereta idamannya. Mazda RX8 bewarnya kuning metalik. Desisnya, kalau kereta ini aku cat je warna silver gelap. Baru mengancam. Ditinjau-tinjau si pemilik RX8 itu. Disangkanya cina, anak tokey emas atau pun tokey judi. Tapi meleset sangkaanya itu. Pemandu itu berkulit sawo matang dan nampak serius dengan kaca mata hitamnya.

Ayu juga gadis disebelahnya. Berambut panjang, ikal-ikal mayang gittuw. Berkulit putih, sikit lagi nak sama dengan anak mat salleh. Terus dia teringat akan si pemilik hati yang ingin dia dapatkan nanti. Tersenyum-senyum dia di atas lambrettanya. Dipalingkan pandangan matanya ke arah gadis tadi. Semacam dia kenal akan gelang bewarna purple ditangan gadis itu.

Lantas si gadis itu berpaling ke depan dengan senyuman setelah puas bercanda dengan lelaki si pemandu RX8 tadi. Tiba-tiba dia sebak. Di dadanya berkecai-berai. Rasanya kini seakan matahari sejengkal sahaja dari kepalanya. Dia rebah ke jalan disaat lampu hijau sudah 10saat bernyawa. Kini dia terbaring kaku di atas tar itu.

Kali terakhir gambaran yang dia nampak dari matanya hanyalah tayar lori trellar menjilat mukanya. Lambretta TV 175 Series II dia khabarnya hancur remuk! Selayaknya lambretta itu berada di kilang besi buruk sahaja kerana motor klasik itu hancur bagai disalai oleh trellar beroda 16 akibat mengelak melanggar penunggangnya yang tiba-tiba terkulai layu mencium tar.

Setiawan terselamat dari igauan ngeri itu. Dia koma selama 3 bulan 3 hari 3 jam 3 minit dan 33 saat. Namun dikhabarkan dari keluarganya, rusuk kirinya remuk sedikit akibat terperosok dan tersangkut dilanggar bawah trellar tersebut. Mujur tuhan masih memberinya sinar. Kini hidupnya hanya bertemankan kertas-kertas berbentuk hati yang kosong. Kamera langsung dia tidak mahu pandang! Malah kameralah yang menjadi gadjet yang paling dia benci sampai mati.

Semoga, kau Setiawan, bangkitlah dari angin lalu dengan megah sehebat kisah Pedang Setiawan. ;)


* * * * *

No comments: