Wednesday, December 28, 2011

.Menjumpaimu Di Dalam Tin Sardin Dahulu Adalah Benda Yang Paling Benar ! Aku Jumpa.



* * * * *


Semalam aku melawat-lawat halaman si Shrek. Sunyi. Terkadang berliplap lampu kelip-kelip. Terkadang aku nampak ada bunga-bunga api dimainkan. Selalu juga aku mencuri pandangan ke sana. Tak siapa yang tahu aku ke sana. Dan mengapa juga aku ke sana. Tuhan selalu takdirkan hambanya dengan ujian. Dan setitis nasib adalah merupakan sejambak talian hayatmu sebenarnya. Aku percaya akan itu.


Hari ini
aku hadir lagi dihalaman si Shrek itu. Malam-malam selalu gelita dan hanya pelita adalah benda yang paling berani menemaniku. Jikalau aku ke sini siang-siang dah tentulah aku dibaham si Shrek bengis tu. Aku duduk di atas satu batu besar di tepi pokok sena yang sudah tak berapa nak renek. Sudah hampir benar bogelnya pokok ini tanpa sebarang utas benang dedaun pun. Sudah tentu fotosintesis bukan lagi tanggungjawabnya. Hayatnya pasti dah terlalu tua dibumi yang fana ini.


Tengah malam itu aku nampak kelawar berburu-buruan. Ada yang sampai terlanggar atap rumah si Shrek ini. Mungkin kelawar di sini sudah tidak kalis lagi dengan pandangan malam atau keliru dengan fatamorgana alam. Aku ambil satu kelawar tadi yang bersepuk jatuh ke tanah. Aku belai dan aku simpan dalam stokin aku. Malam itu aku kutip 3 ekor kelawar. Dua aku letak di dalam stokin kiri dan kanan ku dan satu lagu aku letak kat dalam poket di dadaku ini.


Katil itu benar-benar melenakan. Aku mabuk tertidur dan lupa hendak mengeluarkan kelawar-kelawar tadi. Yang berada di dalam stokin habis mati kelemasan. Lalu ku periksa yang satu lagi. Selamat atau kojol juga. Poket kosong! Habis semua poket didadaku raba-raba gelisah. Kini aku berbogel tanpa seurat benang. Aku nampak dadaku melalui cermin seperti seakan ada robekan. Bagai mati akal, dicapainya kapak berkepala dua itu lalu dibedah dada ini sendiri. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat kelawar tadi bermain-main jongkang-jongkit di taman-taman hati.


Dia ada bulu-bulu yang panjang. Seakan sudah berkurun tidak dibelai dan dipotong. Barangkali betina anak kelawar ini. Aku keluarkannya dari dalam taman-taman hati setelah kulihat dia seakan-akan lemas tanpa oksigen. Dia terkulai layu. Aku mandikannya, ku balutkan luka-lukanya (luka yang paling rabak dihatinya yang kecil), ku jahit belahan dadanya, ku suap sesuap sarapan, ku sediakan tempat tinggal umpama raja yang tergantung di lelangit tingkap umpama taman-taman rahsia apungan Babylon.


Sembilan bulan aku jaganya dengan penuh tumpuan walaupun kadang-kadang ia langsung tak mempedulikanku. Aku tahu, selagi dia denganku selagi itu tanggungjawabku membelainya ku genggam padu. Tak kisahlah selepas itu dia langsung tidak memandang aku. Yang dia hanya tahu selepas itu dia terlalu asyik dengan permainan luar. Hatiku ini langsung tidak dia singgahi lagi. Jongkang-jongkit tak semena-mena jadi berkarat. Aku tak kisah akan itu. Yang penting dia pulang dan aku nampak dia keluar.


Tapi semakin hari semakin meliar perihalnya. Aku langsung tidak diendahkan. Disepak terajang bagai najis. Tapi aku tak kisah. Sebab aku tahu dia kuat untuk menempuh dugaan di luar sana. Cuma terkadang yang terguris ini pedih lukanya. Lama juga mahu pulih. Sampai suatu masa aku sedar yang aku tidak mampu lagi menjagamu. Apa guna kalau terguris dan diubati tapi tetap terguris-guris lagi dan lagi. Kali ini aku nekad melepaskannya. Aku tidak menghalau. Tapi dia yang keluar dahulu sebelum sempat aku campaknya jauh-jauh. Benci benar dia dengan pandangan aku.


Esok aku mahu ke halaman rumah si Shrek itu lagi. Mana tahu boleh bawa pulang kelawar atau apa yang dapat menjaga hatiku. Malam yang pertama aku pulang dengan hampa. Duka tanpa sebarang isyarat bahawa tuhan ingin membantu hambanya. Malam kedua juga begitu. Malam ketiga juga sama skripnya. Sampailah dimalam kedua belas. Halaman rumah si Shrek itu sunyi sepi sekali. Tiada tanda-tanda bahawa keriangan bermandi di sini. Aku capai seketul batu dan dilemparkan jauh-jauh kelangit. Moga-moga sampailah ke langit ketujuh dan janganlah ia jatuh kembali melukai ku.


Sedang asyik memuja bintang, aku nampak sinar-sinar berkilau tiba-tiba. Ia datang dari langit. Segera aku masuk dibawah batu ini. Takut-takut batu yang ku baling tadi jatuh semula merejam aku. Pasti ia sudah jadi meteor. Berkuasalah nampaknya ia ya? Namun sangkaan ku meleset. Sinar itu jatuh bersepuk-sepuk ke tanah. Ada sebanyak dua belas tin yang bersinar-sinar. Rupa-rupanya ia adalah tin sardin untuk si Shrek. Si Shrek ini khabarnya memuja sardin-sardin dari langit buatan alien. Nah, ini buktinya. Ia jatuh di depanku.


Aku ambil dua tin sardin yang jatuh tadi. Lalu cepat-cepat aku pulang ke rumah. Mahu juga niat dihati merasa sardin alien ini. Tin yang pertama aku buka dan makan mentah-mentah dengan roti perancis. Enak rasanya. Tin kedua aku buka dan siap-siap nak masak di dalam kuali berisi belacan ini. Tapi aku dikejutkan dengan penglihatan mata yang memeranjatkan. Tercampak tin sardin yang kedua tadi. Menggeletar jari jemariku tanpa henti. Celaka berombak!


Aku lihat, aku lihat anak kelawar betina. Anak kelawar betina yang pernah merobek hatiku untuk bermain jongkang-jongkit suatu masa dahulu. Pantas-pantas aku keluarkan dia dari tin sardin durjana itu. Dia terkulai layu. Layu dengan kepaknya yang langsung basah. Ku rendamkan dia di dalam air panas. Agar dia cepat-cepat sedar dan sedikit sebanyak dapat memulihkan tenaganya. Matanya kuyu-kuyu lagi. Tapi aku tahu, sebentar lagi matanya akan kembali pulih seperti asal. Aku rindukan mata dia yang bulat-bulat bersinar kebiru-biruan itu. Alangkah personanya engkau anak kelawar betina.


Tapi kejap lagi apabila dia sihat dan terasa gagah dengan keupayaan sendiri, dia tetap akan pergi dan meninggalkanku sendiri.


Aku hanya senyum untukmu. Tak salahkan? ;)


Menjumpaimu di dalam tin sardin dahulu adalah benda yang paling benar aku jumpa. TMT.


* * * * *